Checklist Amalan Awalan Bulan Zulhijjah 1442H

Checklist Amalan Awalan Bulan Zulhijjah 1442H | Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan bulan ZulHijjah yang mulia, bulan dimana ramai umat Islam berangkat ke bumi suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadat Haji. Namun tahun 2021/1442H merupakan tahun kedua dimana ramai jemaah tidak dapat menunaikan ibadah Haji disebabkan pandemik Covid-19.



Walaupun begitu, banyak amalan-amalan yang boleh kita lakukan pada 9 hari awal bulan Zulhijjah. Jom kita checklist apakah amalan-amalan tersebut.


1) Solat

2) Puasa

3) Membaca Al-quraan

4) Memperbanyakkan Doa

5) Perbanyak Istighfar

6) Sedekah

7) Hadir Majilis Ilmu (online) 

8) Amar Makruf Nahi Mungkar

9) Menjauhi  perkara yang dimurkai dan berbanyak melakukan kebaikan


Antara yang pasti kita rindui pastinya mengunjungi masjid (tanpa sebarang had)untuk bersolat jemaah dan ziarah menziarhi kerana pematuhan S.O.P. Pastinya tanpa wabak, pasti masjid-masjid akan meriah dengan majlis ilmu dengan ceramah-ceramah dan kuliah tentang bulan Zulhijjah yang mulia ini.

Berpuasa sunat di sepanjang awal Zuhijjah adalah sangat digalakan. Berpuasa ada banyak manfaat dan yang pasti ganjaran pahala sentiasa menanti kepada kita semua jika kita merebut peluang keemasan ini. 

Ibadat puasa juga merupakan antara amalan yang paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini.


Mengenai kelebihan amalan puasa pula, dalam sebuah hadits qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :


Maksudnya : ”Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman : Semua amal ibadat anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali ibadat puasa. Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)


Adapun puasa sunat yang sangat dianjurkan pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ialah :


(i) Puasa Sunat ‘Arafah (9 Zulhijjah)

Hukum puasa sunat ‘Arafah adalah sunat muakkadah (yang sangat dituntut) bagi orang yang tidak mengerjakan haji dan ia adalah puasa yang paling utama dan paling dituntut pada hari-hari al-‘asyr al-awa’il ini.


Sebaliknya orang yang mengerjakan haji disunatkan untuk tidak berpuasa walaupun dia berupaya untuk melaksanakan puasa.


Begitu juga tidak disunatkan bagi orang yang musafir serta orang sakit untuk berpuasa pada hari ‘Arafah jika dengan berpuasa itu akan mendatangkan kepayahan kepada mereka.


Puasa sunat ‘Arafah sangat besar fadhilatnya. Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :


Maksudnya : ”Puasa hari ‘Arafah, aku memohon kepada Allah agar menebus dosa-dosa setahun sebelumnya serta setahun selepasnya.” (Hadits riwayat Imam Muslim)


Hadits ini bermaksud bahawa mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu diberikan ganjaran pengampunan dosa-dosa setahun sebelum hari ‘Arafah yang lalu serta setahun selepas hari ‘Arafah yang akan datang.


Imam al-Mawardi Rahimahullah berkata bahawa ‘pengampunan’ dalam hadits tersebut mempunyai dua tafsiran :


i. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengampunkan dosanya pada dua tahun tersebut.


ii. Allah Subhanahu wa Ta’ala memeliharanya pada dua tahun tersebut, dan dia tidak akan berbuat maksiat pada dua tahun itu.


Adapun pengampunan dosa-dosa yang dimaksudkan itu adalah pengampunan bagi dosa-dosa kecil sahaja. Ini kerana dosa-dosa besar hanya dapat diampunkan dengan taubat atau (pengampunan) melalui rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, sepertimana yang dinukil oleh Imam asy-Syaukani Rahimahullah dalam kitabnya Nail al-Authar, sekiranya orang yang mengerjakan puasa sunat ‘Arafah itu tidak mempunyai dosa-dosa kecil, maka akan diampunkan pula baginya dosa-dosanya yang besar. Sekiranya dia tidak juga mempunyai dosa-dosa besar, maka puasanya itu akan mengangkat darjatnya.


Di samping itu, kita kena banyakkan berdoa kepada Allah, semoga wabak ini segera lenyap dan di angkat oleh Allah. Kita merintih kepada Allah semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua sama ada sedar atau tidak sedar. Melihat stastik pada hari ini sahaja kes baharu 9k . Allahu akbar satu angka yang besar jika kita muahasabah kembali.


Marilah bersama-sama kita melakukan amalan-amalan sunat di awal bulan Zulhijjah, jangan biarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa kita rebut segala kelebihannya kerana inilah peluang keemasan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mengangkat darjat di sisi-Nya.

Adakah kita akan bertemu lagi bulan Zulhijjah di tahun hadapan? 

Catat Ulasan

0 Ulasan